LAHAD DATU: Misteri kehilangan telefon bimbit milik seorang wanita warga emas ketika solat subuh di Masjid Tamoi Lama, di sini, terjawab selepas tertangkapnya seorang lelaki, semalam.
Suspek warga tempatan berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di Terminal bas, jam 4.30 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, suspek diburu polis susulan laporan berserta bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada 16 Mac lalu.
“Berdasarkan rakaman CCTV itu, polis melakukan siasatan dan bertindak atas maklumat, polis akhirnya berjaya menahan suspek terbabit.
“Pasukan polis turut merampas telefon bimbit disyaki terbabit dalam kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkait dadah.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
“Permohonan reman akan dibuat terhadap suspek dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X