Search

Kerajaan Persekutuan sedia tambah peruntukan selesai isu air di UMS – PM

May 30, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan sedia menambah peruntukan bagi mengatasi isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang kembali menjejaskan warga kampus induknya di Kota Kinabalu.

Menyatakan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan tidak berdiam diri terhadap isu itu, sebaliknya berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikannya.

“Tadi saya bincang dengan Ketua Menteri sebab dia katakan air di UMS. Saya sampai dulu, dua tahun lebih dulu bagi RM3 juta immediate, selesai sekejap, dia bocor lagi.

“Kemudian anak-anak, mahasiswa anak kita rasa gelisah. Negeri, cari semua maklumat penyelesaiannya. Di luar semua baik ada air, dalam kadang tersangkut air.

“Jadi kita maknanya kita dengar cuba selesaikan dengan sebaik mungkin dan saya beritahu kepada Ketua Menteri kalau dikatakan perlu tambahan peruntukan saya bagi, kerana ini anak-anak kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dapat dilaksanakan dengan adanya kerjasama dan muafakat di antara kerajaan negeri dan persekutuan.

“Jadi saudara-saudara, saya nak tekankan di sini, betapa perlu bila kita berpakat, muafakat, kerjasama kita boleh angkat martabat negara kita.

“Apakah semuanya sempurna? Belum. Bagilah berapa bilion ringgit pun baiki jalan, masih ada satu dua tempat yang masih lubang-lubang. Jadi kita harus terus prihatin, dengar dan cuba selesaikan,” katanya.

Beliau menekankan, soal besar boleh dibicarakan tetapi kerajaan juga mesti menyelesaikan soal-soal rakyat yang di bawah.

“Umpamanya, di antara isu dibangkitkan selain daripada jalan ialah beberapa kampung, desa pedalaman yang gelap gelita waktu malam.

“Ya, kita fikir kalau bagi lampu besar-besar, mahal-mahal, tak upaya negara. Dia kena ada rencana 5 tahun, 10 tahun. Tapi saya nak segera, segerakan, maka cari,” katanya sambil merujuk kepada peluncuran Solar MADANI di Sarawak, dua bulan lalu.

Katanya, kerajaan akan memasang tiang elektrik solar di hampir semua kawasan pinggir bandar, desa dan pedalaman yang akan dimulakan termasuk di Sabah ini.

“Hampir semua kampung dalam tahun ini juga kita letaklah tiang elektrik solar. Dia murah tapi terang. Tak payah standard internasional, standard kita untuk beri.

“Dan saya dah luluskan supaya hampir keseluruhan kampung-kampung, desa dan pedalaman di Sabah akan terang dengan kuasa solar mulai tahun ini,” katanya.

Beliau menjelaskan rancangan itu tertangguh sebelum ini kerana rancangan yang dibawa terlalu mahal, yang mana kerajaan tidak berupaya memasang lampu yang berpuluh juta, selain banyak lagi masalah lain.

“Tapi, bila kita dapat rencana yang lebih murah, arahan dan saya telah diluluskan peruntukan diperlukan. Saya kata kalau setakat RM1- RM2 juta tambahan untuk Sabah ini, no problem! Kita luluskan,” katanya. – Info X