Search

Jangan bangkit isu jejaskan negara, hubungan negeri-persekutuan – PM

May 30, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap sesetengah pemimpin membangkitkan isu yang boleh menimbulkan terhakisnya keyakinan terhadap negara semata-mata untuk menghangatkan suhu politik menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Perdana Menteri berkata tindakan itu tidak sihat dalam usaha mengekalkan hubungan baik di antara kerajaan negeri dan Persekutuan yang ditekankannya sebagai sangat penting untuk kemajuan Sabah dan negara.

Katanya, di bawah kepemimpinannya sekarang, beliau mendengar secara terus daripada Ketua Menteri mengenai permintaan negeri kerana adanya hubungan akrab dan baik, selain saling meyakini antara satu sama lain.

“Sebab itu saya katakan kalau mahu Malaysia ini terangkat kedudukannya, kalau mahu Sabah maju, mesti ada semangat untuk bina kekuatan Sabah, muliakan, tingkatkan tahap kemajuan Sabah dan lakukan ini bersama dengan semangat perpaduan kita dalam satu negara dengan Kerajaan Persekutuan.

“Jadi terima kasih YAB Datuk Seri Hajiji Noor dan seluruh barisan menteri-menteri di Sabah.

“Saya sering ulangi hal ini kerana kadang-kadang dalam pergelutan hampir Pilihan Raya Negeri Sabah, pimpinan yang pernah memimpin bersama kadang-kadang lupa semata-mata untuk menghangatkan suhu politik ataupun membangkitkan isu-isu yang menimbulkan terhakisnya keyakinan kepada negara. Ini tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, pada Jumaat.

PM meraikan Kaamatan bersama etnik Sabah di Hongkod Koisaan KDCA.

Anwar berkata, beliau berterima kasih kepada Hajiji dan pimpinan Sabah kerana memilih untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, dengan wakil dalam Jemaah Menteri.

“Dalam mesyuarat- mesyuarat di antara Persekutuan dan Negeri, yang paling banyak diadakan sejak saya ambil alih sebagai Perdana Menteri, kerana kita kena dengar.

“Juga ini kali pertama, hampir setiap kali saya datang di sini saya adakan majlis di antara semua pegawai, pegawai kanan Kerajaan Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Perkhidmatan Awam (KPPA), Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) mendengar langsung dari pimpinan negeri supaya dalam menetapkan keutamaan, umpamanya Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) ini.

“Keutamaan itu tidak ada ditentukan oleh Kuala Lumpur dan Kementerian di Kuala Lumpur, tetapi ditetapkan bersama dengan tuntutan permintaan negeri bersama dengan Persekutuan.

“Ini dia RMKe-13 dan ini bukan saya kata tidak berlaku dahulunya, ada, tapi permintaan disaring oleh kementerian-kementerian Persekutuan. Sekarang tidak, permintaan itu secara langsung yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, ada Ketua Menteri ada Menteri Besar Negeri dan secara langsung kita dengar dan kita beri perhatian.

“Ini hanya berlaku kerana keseragaman kerana hubungan akrab dan baik kerana saling meyakini di antara satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, Anwar berkata menjadi tugas Perdana Menteri mesti datang meraikan sambutan Kaamatan di Sabah atas keyakinan terhadap semua sambutan budaya dan menghormati KDCA.

“Kita menghormati, memuliakan adat istiadat kita dan suku-suku kaum kita dengan semangat Kaamatan Montok Toinsanan. Ini memberi kehebatan yang lebih mengangkat kedudukan Malaysia sebagai negara yang terkenal di dunia ini,” katanya.

Beliau berkata, rakyat harus faham bahawa dalam mana-mana negara penduduk pelbagai kaum, pelbagai suku kaum dan agama, semangat yang disebut inklusiviti itu sangat penting.

Bagaimanapun, katanya tidak semua yang faham dan menghayati perkara itu kerana masih ada yang menghasut untuk menunjukkan perbezaan.

“Saya boleh sebut 100 berbedaan di antara Kaamatan dengan Sambutan Hari Raya Haji. Saya boleh sebut ratusan perbedaan di antara Kaamatan dengan Hari Gawai atau Deepavali atau Krismas.

“Tapi, saya juga boleh sebut ratusan persamaan semangat ihsan, kebaikan, kemanusiaan, kepelbagaian, dengan semua kaum dan agama di negara kita. Mengapa tidak pilih yang itu? Dan mengapa pilih perbezaan?

“Sebab itu bila Malaysia ditubuhkan, Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj bersetuju moto negara, Bersekutu Bertambah Mutu.

“Maknanya, kepelbagaian itu boleh memperkukuh, kepelbagaian boleh mempersatu, boleh meningkatkan mutu dan kepelbagaian juga boleh meruntuhkan.

“Mana ada negara di dunia, di mana kita menerima keadaan pelbagai kaum dan pelbagai agama, kemudian timbul permusuhan di antara kaum, di antara agama, di antara wilayah.

“Negara mana yang berjaya? Semua hancur lebur. Jadi betapa susah pun, betapa sukar sekalipun, pimpinan yang waras boleh guna dalam kempen politik, boleh rebut jawatan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau ahli Parlimen tapi mesti ingat jangan korbankan negeri dan negara,” katanya. – Info X