PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini memberi penjelasan mengenai isu video tular yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Beliau menegaskan tidak campur tangan dalam isu itu dan menyangkal tuduhan yang mendakwa terdapat usaha untuk menutup kes berkenaan.
“Saya nak terus terang mengenai kritikan yang paling kuat di sini kerana pengedaran video yang (didakwa) tidak disiasat oleh agensi Kerajaan Persekutuan, SPRM.
“Tentunya saya tidak campur tetapi bila hal itu hangat, saya minta pandangan daripada SPRM mengenai video ini.
“Tuduhannya bahawa kita menutup, itu adalah persepsi yang dibangkitkan, persepsi terutama di bandar seolah-olah ada usaha untuk menutup rasuah dan kesalahan.
“Saudara-saudari yakin negara ini tidak selamat sekiranya kita izinkan pimpinan memunggah kekayaan hasil negeri. Negeri boleh kaya, pemimpin boleh kaya, tapi rakyat miskin kalau kita tidak tangani masalah rasuah.
“Tapi rasuah ini tidak ditangani dengan persepsi, tidak ditangani dengan fitnah, tidak mungkin diselesaikan dengan maki hamun dan menimbul kepercayaan.
“Ia mesti melalui latihan nilai kita, prinsip kita dan tindakan yang tegas dari segi perundangan. Negara ini negara hukum, bukan negara persepsi, bukan negara tuduhan dan fitnah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kaamatan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, pada Jumaat.

Perdana Menteri berkata beliau sendiri bertanya kepada SPRM mengenai kesahihan video yang dihebohkan itu .
“Saya pun tengok, eh nampak macam betul, apa masalah ini? Apa jawapan yang rasmi? Kalau ikut hukum, video sekerat-sekerat ini boleh disiasat, tapi tidak boleh didakwa. Tidak ada mahkamah yang akan menerima video sekerat-sekerat, apalagi pada zaman AI ini.
“Baru tadi Tan Sri Pairin sebut, kalau AI saya boleh tunjuk AI Tan Sri bertumbuk dengan Puan Sri, jadi sebab itu kena siasat.
“Jawapan mereka (SPRM), dia siasat, tapi tidak boleh teruskan kerana belum ada keterangan dan orang yang mengeluarkan keterangan itu pun dia keluarkan sedikit, kemudian dibicara dengan pemakaian sedikit dan dihangatkan suasana. Jadi tentunya Kita kena jelaskan, itu satu,” katanya.
Perkara kedua, katanya membabitkan pihak pemberi maklumat yang mendedahkan video itu dan meminta perlindungan daripada kerajaan.
“Yang kedua kita tahu tanggungjawab kerajaan mempertahankan hak orang yang memberi maklumat yang disebut whistleblower.
“Tapi kita ambil satu kes, bukan di Sabah, yang mana ada seorang itu yang dia curi atau disamun RM2 bilion, kemudian dia pergi kepada polis Atau SPRM, kata akan beri kerjasama untuk mendakwa orang yang mengambil RM100, kemudian dia kata mahu diberi perlindungan oleh kerajaan.
“Apakah wajar kita beri perlindungan, tidak. Hal-hal ini adalah hal hukum,” katanya.
Anwar berkata, berdasarkan SPRM, agensi itu sudah mendapat video lengkap mengenai kes berkenaan sebulan yang lalu dan ia kini dirujuk kepada forensik untuk siasatan.
“Maknanya siasatan yang lebih rapi boleh diteruskan, jadi ini saya nak terangkan supaya saudara dan saudari faham.
“Saya tidak mahu jadi saya pegang dalam kerajaan untuk melindungi, ini keadaannya. Oh Perdana Menteri mesti ambil tindakan, Perdana Menteri tidak tegas, Perdana Menteri sebut anti rasuah tapi mengizinkan.
“Ini Perdana Menteri bukan diktator pak. Saya ikut hukum, saya kena lalui proses, saya tidak boleh tangkap begitu.
“Ada orang berkata, ih kamu dah nampak ada duit dia RM100 juta, mengapa belum dakwa. Siasat itu kerja SPRM atau polis, dakwa itu kerja Peguam Negara, hukum itu kerja hakim.
“Perdana Menteri itu harus jaga supaya sistem itu berjalan, bukan Perdana Menteri yang siasat, Perdana Menteri yang dakwa, Perdana Menteri yang hukum, itu diktator namanya.
“Itu pernah kita lalui dulu, saya tahu itu. Jangan minta saya ulangi sistem begitu kepada orang-orang begitu.
“Sebab itu kita kena jaga, apakah tidak ada menteri yang rasuah dulu, ada. Apakah tidak ada pendakwa yang dipertikai kewibawaan, ada. Apakah tidak ada hakim yang rasuah dulu, ada.
“Sebab itu kita kena teliti di semua peringkat supaya dibersihkan semua sistem, itu tanggungjawab kita tentang tata kelola,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau memilih untuk berterus terang mengenai isu itu bagi meredakan keadaan dan memastikan kedudukan sebenarnya difahami, selain menekankan bahawa tindakan tetap diambil jika berlaku pelanggaran undang-undang. – Info X