TAWAU: Cubaan seorang lelaki warga asing melakukan kegiatan samun kedai emas gagal apabila ditahan polis dalam kejadian di Jalan Stephen Tan, di sini, semalam.
Suspek berusia 57 tahun ditahan polis dari Balai Polis Tawau, ketika sedang memotong mangga kunci premis berkenaan menggunakan gergaji besi, kira-kira jam 12.40 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dua anggota polis yang sedang membuat rondaan bit menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) mengenai kehadiran individu mencurigakan di hadapan premis berkenaan.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, anggota polis terus bergegas ke lokasi dan mendapati seorang lelaki sedang memotong mangga kunci menggunakan gergaji besi selain turut memotong wayar lampu premis berkenaan.
“Ketika hendak ditahan, suspek warga asing bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun berjaya diberkas oleh anggota polis.
“Susulan tangkapan itu, polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan pecah kedai iaitu sebuah gergaji besi, satu batang mata gergaji dan satu alat kuku kambing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa dokumen yang sah,” katanya. – Info X