SANDAKAN: Dua individu maut dalam dua kejadian kemalangan jalan raya berasingan di daerah ini semalam, membabitkan tiga kenderaan serta seorang pejalan kaki.
Dalam kejadian pertama, seorang lelaki warga asing yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC maut di lokasi kejadian kira-kira jam 3.35 petang di Batu 26, Jalan Labuk, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy A/L Kuppan, berkata motosikal mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Myvi sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.

Katanya, siasatan awal mendapati motosikal terbabit datang dari arah Batu 32 menghala ke Taman Mawar sebelum merempuh bahagian kanan belakang Perodua Myvi di hadapannya.
“Akibat rempuhan itu, mangsa dipercayai tercampak ke tengah jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Duchess Of kent (HDOK) Sandakan untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beberapa jam kemudian, satu lagi kemalangan berlaku pada jam 10.50 malam di Batu 4, Jalan Utara, melibatkan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 50-an yang maut selepas dilanggar dan digilis dua kenderaan.
Menurutnya, mangsa dipercayai sedang melintas jalan dalam keadaan gelap dan hujan apabila dilanggar kenderaan jenis Dolphin Extended yang datang dari arah IJM menuju ke Taman Tinosan.
“Disebabkan jarak terlalu dekat serta cuaca kurang baik, pemandu tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa.
“Mangsa kemudian tercampak ke atas jalan sebelum digilis pula oleh kenderaan jenis Naza Citra dari arah sama,” katanya.
Ramasamy berkata, mangsa dibawa ke Hospital Sandakan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah.
Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya terutama dalam keadaan cuaca buruk dan kawasan kurang pencahayaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X