Search

5 cedera kereta bertembung dengan lori 10 tan

June 1, 2025

Info X Reporters

KUDAT: Lima cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Kampung Molong Kolong, Matunggung, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba, Darickson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.28 pagi.

Katanya, seramai lapan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan lori 10 tan. Terdapat enam mangsa terbabit.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Perodua Myvi dalam kemalangan di Kudat. – Foto/Bomba

“Seorang mangsa tersepit dalam Perodua Myvi berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba manakala empat mangsa dikeluarkan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum jentera tiba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan pegawai perubatan.

“Semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kudat menggunakan EMRS dan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi ditamatkan pada jam 9.51 pagi,” katanya. – Info X