PUTATAN: Kerosakan alat penanda paras air di tangki R13 Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mungkin punca operasi pengepaman air ke kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak dapat dibuat dengan tepat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata keadaan itu menyebabkan jumlah air yang dipam ke kampus UMS tidak mencukupi hingga berlaku kekurangan bekalan dan menjejaskan keselesaan warganya.
Beliau berkata, pemantauan pihaknya dan JANS mendapati jumlah air yang disalurkan ke tangki di kampus UMS itu sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan warga kampus dan kawasan sekitarnya.
“Bagi saya dan pihak JANS, kita telah melihat dan memantau kemasukan air ke tangki R13 di UMS dan berdasarkan rekod, jumlah air adalah mencukupi.
“Saya sendiri membuat tinjauan di UMS dua minggu yang lalu untuk melihat situasi sebenar kerana JANS kata air tetapi UMS pula kata tidak cukup air.
“Hasil lawatan saya itu kedua pihak setuju bahawa jumlah air yang masuk ke tangki adalah cukup, cuma penanda paras air di tangki R13 tidak berfungsi dan itu mengelirukan ums untuk mengatur operasi jadual pengepaman mereka,” katanya ditemui pada majlis penyerahan lembu korban di Pejabat Daerah Putatan, di sini, pada Selasa.
Menteri Kerja Raya negeri itu berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan pihak UMS yang menafikan jumlah air disalurkan ke kampusnya adalah mencukupi seperti didakwa JANS dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Pihak UMS turut menafikan pam miliknya yang digunakan untuk menyalurkan air ke sekitar kampus bermasalah.

Shahelmey berkata hasil perbincangan dengan UMS, JANS bersetuju memberikan laporan pada setiap jam kepada pihak universiti itu mengenai paras air dalam tangki R13.
Laporan itu katanya bagi membolehkan pihak UMS mengetahui dengan tepat paras air yang ada dalam tangki R13 supaya boleh mengatur operasi pengepaman air di dalam kampus.
Sementara itu, katanya penanda paras air yang rosak akan diganti selepas peralatan baharu sampai dan dipasang di tangki R13 dalam masa seminggu atau dua minggu lagi.
“Selepas itu saya akan melawat lagi ke UMS bagi memastikan tidak timbul lagi silap komuikasi di antara pihak JANS dan UMS.
“Saya juga meminta pihak JANS menyimpan rekod jumlah air yang masuk ke dalam tangki R13. Jadi sejak 19 Mei lalu sehingga semalam jumlahnya dalam kadar mencukupi, malah lebih lagi.
“Hanya pada 14 hingga 19 Mei ada pam UMS yang rosak dan dibaiki, hanya satu pam yang beroperasi dan itu menyebabkan jumlah air kurang.
“Tapi itu sudah berlalu. Namun, kita akan pastikan kelancaran air di UMS terutama sepanjang Jun ini pelajar bakal menduduki peperiksaan,” katanya.
Terdahulu pada majlis itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan menyerahkan sebanyak 30 lembu korban sumbangan Pejabat Parlimennya untuk diagihkan kepada masjid, surau serta jabatan dan agensi kerajaan yang ada di daerah ini sempena sambutan Aidiladha pada akhir minggu ini. – Info X