KOTA KINABALU: Parti Warisan berikrar menubuhkan semula Kementerian Pendidikan Sabah jika kembali memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Setiausaha Warisan Bahagian Kota Kinabalu, Loi Kok Liang, berkata kementerian itu penting sebagai satu entiti khas yang akan ditadbir oleh rakyat tempatan.
Katanya, Sabah perlu mendapatkan semula kuasa dalam bidang pendidikan bagi melaksanakan reformasi pendidikan secara menyeluruh.
“Oleh itu, Warisan berikrar untuk menubuhkan semula Kementerian Pendidikan Sabah, satu entiti khas yang akan ditadbir oleh rakyat tempatan untuk menggubal dasar pendidikan yang sesuai dengan realiti dan keperluan negeri.
“Pendidikan Sabah tidak seharusnya terus ditentukan oleh birokrat di Putrajaya. Ia mesti dikembalikan kepada rakyat Sabah sendiri.
“Hanya dengan cara itu kita dapat memastikan anak-anak kita menerima pendidikan yang sesuai, relevan, dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, katanya Warisan juga akan memperkenalkan Program Dwibahasa (DLP) secara menyeluruh dan menjadikannya dasar utama pendidikan Sabah jika ia kembali memerintah nanti.
Beliau berkata, dasar DLP mengambil kira kepentingan menguasai Bahasa Inggeris sebagai kunci untuk Sabah mencapai tahap pembangunan antarabangsa, menarik pelaburan, dan memacu industri pelancongan.
“Dunia hari ini adalah dunia tanpa sempadan. Kita tidak boleh membiarkan generasi muda Sabah terus dipinggirkan. Penguasaan Bahasa Inggeris bukan sekadar soal kemahiran peribadi, tetapi penentu daya saing negara,” katanya.
Beliau memberi contoh negeri Perak yang menunjukkan peningkatan dalam kecekapan penggunaan Bahasa Inggeris dengan menduduki tempat pertama dalam Indeks Kecekapan Bahasa Inggeris EF.
Atas sebab itu, katanya Sabah tidak seharusnya sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya perlu lebih agresif melangkah ke hadapan.
“Sarawak menjadi contoh terbaik. Negeri itu terus melaksanakan DLP dalam subjek Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Inggeris, sekali gus meningkatkan kebolehan pelajar dalam bahasa dan juga peluang kerjaya di peringkat antarabangsa.
“Saya percaya bahawa Sabah tidak boleh terus berada di takuk lama dalam pelaksanaan DLP,” katanya.
Beliau menggariskan lima komitmen utama Warisan untuk memperkukuh pendidikan Bahasa Inggeris di Sabah jika parti itu kembali memerintah selepas PRN17.
“Pertama, peluasan pelaksanaan DLP ke seluruh negeri termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman. Kedua, latihan dan insentif guru Bahasa Inggeris yang mencukupi dan berkualiti.
“Ketiga, persekitaran pembelajaran Bahasa Inggeris dalam komuniti melalui perpustakaan, kursus dan program masyarakat. Keempat, kerjasama dengan sektor industri seperti pelancongan dan perkhidmatan untuk penggunaan Bahasa Inggeris di tempat kerja.
“Yang kelima, penilaian dan pemantauan berkala terhadap pelaksanaan DLP bagi memastikan keberkesanannya,” katanya. – Info X