KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bertanggungjawab terhadap isu bekalan air yang berlarutan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kawasan sekitarnya.
Ketua Bahagian Warisan Kalabakan, Sarifuddin Hata, berkata JANS tidak seharusnya terus menuding jari kepada pihak universiti semata-mata berikutan masalah berkenaan.
Jelasnya, kenyataan yang dikeluarkan JANS baru-baru ini yang mendakwa gangguan bekalan air berpunca daripada kerosakan pam dan meter air di dalam kampus adalah tidak berasas dan mengelirukan.
“Hakikatnya, masalah kekurangan bekalan ini bukan saja berlaku di UMS malah turut dirasai di kawasan lain seperti Tuaran dan Sepanggar.
“Ini sekali gus mencerminkan kegagalan sistemik dalam penyampaian perkhidmatan asas oleh jabatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansur turut menyatakan dakwaan JANS mengelirukan dan satu penghinaan, apabila pelajar sendiri terpaksa turun berhimpun dan membuat bantahan akibat kesengsaraan yang berpanjangan.
“Beliau turut mengesahkan bahawa masalah utama bukan berpunca daripada sistem dalaman universiti tetapi kegagalan jabatan itu menyalurkan bekalan air yang mencukupi ke kampus.
“UMS yang terletak di kawasan berbukit sering mengalami masalah penyaluran air yang tidak mencukupi akibat tekanan rendah. Selain itu, keutamaan diberikan kepada kawasan tanah rendah walaupun tangki utama R13 terletak di dalam kawasan universiti itu,” katanya.
Beliau berkata, berikutan itu Warisan menyeru agar pihak JANS dan Kerajaan Negeri tampil bersikap telus dan bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu itu.
“Tindakan menyalahkan pihak universiti hanya akan menambah kekeliruan dan tidak menawarkan ruang untuk penyelesaian sebenar.
“Warisan berdiri teguh bersama warga UMS dan masyarakat yang terkesan untuk menuntut tindakan segera bagi memastikan bekalan air bersih dapat dinikmati oleh semua,” katanya. – Info X