Search

PRN17: GRS tidak terhegeh-hegeh untuk bekerjasama dengan UMNO-BN – Razali

June 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak terhegeh-hegeh untuk mencari rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Setiausaha Eksekutif GRS, Datuk Mohd Razali Razi, berkata tumpuan gabungan itu ketika ini adalah untuk mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan bukan untuk mencari rakan lain.

Beliau berkata, tidak timbul isu mahu bekerjasama dengan parti lain, khususnya UMNO – Barisan Nasional (BN) kerana GRS sudah ada asas yang mahu dipertahankan dalam soal kerjasama menghadapi PRN17.

“Kita tidak terhegeh-hegeh untuk mencari rakan. Apa yang disarankan oleh Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor adalah formula sekarang, GRS – PH Plus, itu yang berkesan.

“Jadi, sama ada mereka (UMNO-BN) mahu atau tidak, bukan kita terhegeh-hegeh, kita tidak mencari rakan. Fokus kita sekarang ialah bagaimana untuk bekerja dan melaksanakan penyampaian kepada rakyat.

“Pokoknya rakyat yang akan memilih, kita tidak mahu berlakon. Apa yang penting ialah semua isu dapat diselesaikan, mudah saja, kita tumpukan apa yang baik untuk rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sentuhan Kasih Gagasan Rakyat Darau sempena sambutan Aidiladha di Kampung Likas, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, Gagasan Rakyat dan GRS tidak mahu menjadi juara di media, sebaliknya berusaha untuk menumpukan khidmat kepada rakyat dengan bersama mereka di lapangan berbanding parti lawan yang banyak menggunakan media untuk menghentam GRS dan kerajaan negeri.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Darau bersetuju agar keputusan sama ada GRS perlu bekerjasama atau tidak dengan UMNO – BN dibuat selepas PRN17 nanti.

Katanya, ketika ini Gagasan Rakyat dan GRS enggan memikirkan soal kerjasama dengan UMNO atau BN kerana mahu mengekalkan asas sedia ada iaitu kerjasama GRS dengan PH.

Beliau berkata, tumpuan GRS bersama semua parti komponennya ketika ini adalah untuk memberi khidmat kepada rakyat sehingga ke akhir penggal kerajaan GRS-PH Plus yang ada sekarang.

“Bila sampai ke masa itu (selepas PRN17), maka kita akan membuat keputusan, mudah saja. Apa yang penting ketika ini ialah usaha kita untuk membantu rakyat, kita tidak menekankan terhadap politik,” katanya.

Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan hanya akan menimbangkan kerjasama dengan GRS selepas PRN17. – Info X