Search

Wanita cedera dipukul bekas suami

June 5, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditahan kerana memukul bekas isterinya yang sedang bekerja di sebuah premis di sini, semalam.

Kejadian berlaku akibat salah faham antara suspek dan mangsa sehingga membawa kepada insiden keganasan fizikal.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa membuat laporan polis kerana dipukul ketika sedang bekerja oleh bekas suaminya.

Katanya, wanita terbabit mengalami cedera di bahagian muka dan tubuh akibat dipukul oleh suspek.

“Mangsa turut memaklumkan bahawa dia pernah dipukul oleh suspek sebelum ini, namun tidak membuat sebarang laporan polis sebelum ini.

“Bertindak atas laporan yang diterima, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan operasi mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil serbuan di sebuah kawasan perumahan di daerah ini, suspek berusia 36 tahun itu berjaya ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah dihukum di bawah Seksyen 5(1)(a)(ii) Ordinan Hiburan Awam 1958,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam keganasan rumah tangga dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. – Info X