LAHAD DATU: Enam lelaki ditahan manakala sebanyak 60,000 liter petrol tanpa permit bersama buah tiga lori turut dirampas dalam operasi oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Bangkarat, Tungku, di sini, semalam.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, kesemua petrol berkenaan didapati dibawa tanpa permit sah dan dipercayai cuba diseludup.
Katanya, kegiatan berkenaan dikesan ketika pihaknya menjalankan tugas rondaan Op Cegah Pati (OCP) di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan, semua suspek berusia 23 hingga 54 tahun gagal mempamerkan permit sah untuk mengendalikan minyak petrol berkenaan.
“Semua suspek termasuk seorang warga Filipina terus ditahan bersama tiga lori dan sebuah pacuan empat roda.
“Turut dirampas, tiga gulung hos minyak, satu gulung tali kapal dan lapan gelen tong minyak diesel,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, nilai minyak petrol yang dirampas RM123,000 dan jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan RM534,144.
“Semua suspek kini ditahan di Balai Polis Tungku dan akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama barang rampasan.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X