Search

PRN17: Wanita Gagasan Rakyat sokong siapa saja calon DUN Api-Api

June 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Api-Api menyokong siapa saja calon yang dipertaruhkan gabungan itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api pada PRN17.

Ketuanya, Salmi Sarinoh, berkata pihaknya akan terus berdiri teguh di belakang keputusan parti tidak kira siapa yang dicalonkan bagi mewakili kerajaan di kerusi berkenaan.

Beliau berkata Wanita Gagasan Rakyat Api Api yakin calon yang dipilih tanpa mengira dari parti mana dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah individu yang terbaik untuk membawa suara rakyat dan memperjuangkan nasib
masyarakat di DUN Api-Api.

“Kita mesti bijak menilai, terus fokus kepada kerja parti dan tidak melayan provokasi yang hanya bertujuan memecah-belahkan kesatuan kita.

“Kekuatan kita bukan saja terletak pada bilangan tetapi pada kesetiaan, keikhlasan dan keteguhan pendirian kita dalam mempertahankan perjuangan parti.

“Jentera Wanita Gagasan Rakyat perlu memperkukuhkan kekuatan dalaman, menyusun langkah dengan lebih rapi dan tampil berani di medan perjuangan demi memastikan kemenangan parti di DUN Api-Api,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Wanita dan Beliawanis Gagasan Rakyat Api-Api, di sini, pada Ahad.

Persidangan Wanita Gagasan Rakyat Api-Api.

Ketika ini, DUN Api-Api disandang Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew dari PKR.

Sementara itu, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Api-Api Emmie Martin Idang, berkata walaupun bahagian Api-Api bukan kerusi milik Gagasan Rakyat sekarang, ia tetap medan strategik untuk menyebarkan pengaruh dan dasar perjuangan parti kepada masyarakat bandar.

Jelasnya, kehadiran dan gerak kerja Gagasan Rakyat di kawasan itu dapat membantu memperkenalkan parti itu sebagai sebuah parti yang inklusif dan prihatin kepada semua golongan, sama ada di bandar atau luar bandar.

“Bahagian Api-Api boleh berperanan sebagai pusat penyebaran maklumat dan sokongan bagi kawasan-kawasan lain. Ramai penduduk Kota Kinabalu yang bekerja dan menetap di Api-Api sebenarnya berasal dari daerah luar.

“Apabila kita mendekati mereka di bandar, secara tidak langsung kita turut mendekati keluarga dan kenalan mereka di kampung halaman.

“Sokongan yang kita pupuk di Api-Api boleh menjalar ke kawasan-kawasan lain di seluruh Sabah dan di situlah peranan kita sebagai agen penyampaian dan agen perubahan menjadi efektif dalam penyebaran maklumat, polisi serta inisiatif kerajaan di bawah pimpinan YAB Presiden kita,” katanya. – Info X