TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah mempersiapkan jenteranya untuk digerakkan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) sejurus Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beberapa siri kursus persiapan jentera gabungan itu sudah diadakan di setiap kawasan DUN.
“Apa yang jelas, GRS sudah bersedia. Kita sudah menubuhkan jentera pilihan raya dan kita telahpun mengadakan beberapa siri kursus untuk menghadapi pilihan raya.
“Bagaimanapun, soal pembahagian jumlah kerusi belum dibincangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Ibadah Qurban Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Tuaran 2025 sempena sanbutan Aidiladha pada Sabtu.
Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau dan ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.
Pada majlis itu, Hajiji bersama pemimpin yang hadir secara simbolik menyerahkan lembu korban kepada Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin.
Sementara itu, Ketua Menteri berharap Hari Raya Aidiladha pada kali ini akan membawa banyak kesedaran kepada rakyat khususnya umat Islam untuk bekerjasama dan sanggup berkorban demi kepentingan bersama.
“Ini kerana dalam perayaan Hari Raya Aidiladha ini, pengorbanan bukan melibatkan haiwan ternakan sahaja tetapi juga dalam setiap kehidupan kita sebagai manusia ini kita kena bertolak ansur, bekerjasama dan sanggup berkorban untuk kebaikan kita bersama.
“Ini bermakna kita perlu mementingkan perpaduan dan masa depan rakyat yang berbilang kaum di negeri ini,” katanya.
Terdahulu, Hajiji menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Haji Noor Kampung Serusop bersama kira-kira 1,000 jemaah. – Info X