Search

Cubaan penyeludupan bernilai RM16.7 juta berjaya dipatahkan

June 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan tiga cubaan menyeludup masuk membabitkan nilai RM16.6 juta dalam tiga serbuan berasingan bagi tempoh 14 hingga 29 Mei lalu.

Antara barangan dirampas ialah minuman keras, daging ayam beku dan beras yang cuba diseludup masuk menerusi pelabuhan Sepanggar.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Siti Mang berkata, kes pertama membabitkan usaha membanteras aktiviti penyeludupan minuman keras yang dilaksanakan selama dua minggu.

Siti (tiga dari kanan) ketika sidang media berkaitan rampasan minuman keras, daging ayam beku dan beras yang cuba diseludup masuk menerusi pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

Katanya, bertindak atas maklumat cawangan risikan, pasukan operasi melakukan pemeriksaan terhadap 33 kontena.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui sebanyak 659,856 liter minuman keras pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM3.97 juta.

“Manakala nilai duti dan cukai pula dianggarkan berjumlah 11.86 juta,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Teluk Sepanggar, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes kedua pula dilaporkan pada 16 Mei lalu apabila sebuah kontena dikesan membawa produk ayam beku tanpa permit import.

Siti (tengah) menunjukkan beras yang cuba diseludup menerusi Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

Katanya, semua produk ayam beku itu dianggarkan seberat 28 tan yang dianggarkan bernilai RM233,400 dengan duti dan cukai berjumlah RM93,360.

“Manakala kes ketiga pula dilaporkan pada 29 Mei lalu apabila sebuah kontena dikesan membawa 150 tan beras wangi dan beras pulut dalam guni.

“Semua bahan makanan berkenaan dianggarkan bernilai RM356,250 dengan duti dan cukai berjumlah RM142,500,” katanya.

Sehubungan itu, Siti Mang berkata, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengisytiharkan sebagai barangan aluminium

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sehubungan itu, Siti berkata, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Justeru itu katanya, orang ramai disarankan supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

JKDM juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan. – Info X