Search

Jangan ambil ringan nyawa penumpang, nasihat Bung Moktar kepada pemandu bas ekspres

June 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemandu bas ekspres di Sabah diingatkan supaya mengambil iktibar terhadap kemalangan maut membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, semalam.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata insiden menyayat hati itu perlu dijadikan peringatan kepada seluruh pengendali dan pemandu bas ekspres, khususnya di Sabah.

Sambil merakamkan rasa sedih dan takziah kepada keluarga mangsa dalam tragedi itu, Bung Moktar berkata isu keselamatan jalan raya dan perlu sentiasa diberikan perhatian, terutama oleh pengendali pengangkutan awam.

Bung Moktar.

“Saya ingin merakamkan rasa sedih dan takziah kepada keluarga mangsa tragedi nahas bas ekspres UPSI yang berlaku di Gerik, Perak semalam.

“Kejadian menyayat hati itu bukan sahaja meragut nyawa anak-anak muda yang masih menuntut ilmu tetapi turut menjadi peringatan besar kepada seluruh pengendali dan pemandu bas ekspres di negara ini, khususnya di Sabah.

“Sebagai salah seorang pemimpin rakyat yang sentiasa prihatin terhadap isu keselamatan jalan raya, saya menyeru agar semua pemandu bas ekspres di Sabah sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan dan tidak mengambil ringan soal keselamatan nyawa penumpang yang berada di bawah tanggungjawab mereka.

“Jangan jadikan kejar masa sebagai alasan untuk memandu secara melulu atau melebihi had laju. Setiap nyawa dalam bas itu adalah amanah ibu bapa, anak-anak, pekerja dan pelajar yang hanya mahu sampai ke destinasi dengan selamat.

“Sedetik kecuaian boleh membawa padah yang tidak boleh ditebus dengan wang ringgit atau penyesalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau juga menyarankan agar semua syarikat pengendali bas di Sabah meningkatkan pemantauan ke atas jadual kerja pemandu dan memastikan mereka tidak dibebankan dengan waktu pemanduan yang panjang sehingga menjejaskan tahap fokus dan keselamatan ketika memandu.

Ketua UMNO Sabah itu berkata, pengurusan risiko mesti menjadi keutamaan, bukan hanya keuntungan semata-mata.

“Kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), saya harap pemantauan berkala dan pemeriksaan menyeluruh ke atas bas serta rekod pemanduan dilakukan secara lebih tegas dan berkala.

“Tragedi yang berlaku di Gerik itu mesti dijadikan iktibar oleh semua pihak, jangan tunggu kejadian seumpama itu berlaku di Sabah sebelum kita membuka mata. Keselamatan penumpang bukan opsyen, tetapi kewajipan mutlak,” katanya.

Seramai 15 pelajar UPSI dilaporkan maut dalam insiden kemalangan itu yang berlaku ketika pelajar terbabit dalam perjalanan kembali ke UPSI selepas cuti Aidiladha di kampung masing-masing di Terengganu. – Info X