Search

PRN17: ‘Boleh lawan sesama sendiri dalam pertandingan mesra’ – Salleh

June 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti politik dalam gabungan yang sama disaran mengamalkan pendekatan ‘pertandingan mesra’ bagi mengatasi isu pertindihan kerusi yang dijangka berlaku pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata pertindihan kerusi di antara parti yang bekerjasama adalah perkara biasa, namun menyebabkan ketegangan akibat timbul rasa tidak puas hati pada setiap pilihan raya.

Katanya, situasi itu harus ditangani dengan baik dan tidak lagi dibiarkan menjejaskan kerjasama antara parti apabila berlaku tindak balas seperti kemunculan calon bebas yang ‘ditaja’ untuk menjatuhkan calon parti rakan.

“Dalam mana-mana gabungan politik, adalah perkara biasa jika dua atau lebih parti berminat untuk bertanding di kerusi yang sama dan di negeri yang berbilang kaum seperti Sabah, ini bukan luar biasa. Yang penting ialah bagaimana ia diurus dengan kematangan dan saling menghormati.

“Daripada membiarkan pertindihan mencetuskan ketegangan atau mendorong calon bebas tajaan, lebih baik ia ditangani melalui pertandingan mesra yang mana parti dalam gabungan bersetuju untuk bertanding tetapi kekal bersatu.

“Pertandingan mesra bukan bebas untuk semua. Ia adalah persetujuan yang dirancang dan saling hormat, di mana walaupun bertanding di kerusi sama, siapapun yang menang, kerusi itu kekal dalam gabungan,” katanya menerusi satu perkongsian di akaun Facebook beliau, pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu berkata bagi mengurus perkara itu secara berkesan, setiap parti perlu seimbang antara realiti politik dan rasa hormat terhadap kekuatan rakan gabungan.

Beliau berkata, pertandingan mesra bukan soal ego tetapi satu pendekatan untuk mencari jalan praktikal di lapangan.

Mengulas lanjut, Salleh berkata kajian profesional amat penting bagi menentukan kerusi mana yang sesuai dengan pendekatan itu.

“Ia perlu mengambil kira keputusan pilihan raya lalu, kekuatan jentera, calon yang dicadang dan kemungkinan tukar kerusi.

“Jika tidak diurus dengan teliti, pertindihan boleh menyebabkan perpecahan undi dan memberi kelebihan kepada pihak lawan gabungan,” katanya.

Bendahari UMNO Sabah itu berkata jika sekurang-kurangnya separuh daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dapat dipersetujui tanpa pertindihan, ia sudah menjadi satu asas yang kukuh.

Bagi separuh lagi kerusi, katanya pertandingan mesra wajar digunakan apabila rundingan tidak menemui kata sepakat, namun ia mesti disertai dengan persefahaman yang jelas.

“Pendekatan ini membantu mengurangkan ketegangan antara jentera parti, mengekalkan kesatuan gabungan dan memberi kejelasan kepada pengundi. Ia membolehkan kerjasama tanpa memaksa kompromi yang tidak realistik.

“Model seperti ini diamalkan di negara lain, di India, Jerman dan Indonesia, parti mungkin bertanding di sesetengah kawasan tetapi tetap bekerjasama dalam kepimpinan nasional, membuktikan bahawa persaingan dan perpaduan boleh wujud seiring.

“Ini menunjukkan kematangan politik, parti tahu bila bersaing dan bila perlu bersatu tanpa merosakkan kepercayaan dalam gabungan,” katanya.

Katanya, di Sabah, pendekatan itu boleh dilaksanakan jika diurus secara profesional dengan kepercayaan dan komitmen bersama untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Salleh berkata, pendapat yang menyokong parti bertanding solo sebelum membentuk gabungan selepas pilihan raya kurang sesuai kerana membawa banyak ketidaktentuan kepada pengundi, calon dan hala tuju pentadbiran.

“Ia membuka ruang kepada agenda peribadi dan rundingan pasca pilihan raya yang tidak stabil. Gabungan sebelum pilihan raya memberi kejelasan, membina kepercayaan dan membawa kepada keputusan yang lebih kukuh.

“Akhirnya, rakyat tidak mahu melihat perbalahan dalaman yang berpanjangan, mereka mahu pemimpin yang boleh bekerjasama dan menghasilkan sesuatu. Apa yang mereka harapkan ialah gabungan yang meletakkan rakyat di hadapan dan menunjukkan hasilnya,” katanya. – Info X