KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan aktiviti urusniaga penjualan minyak diesel secara haram dalam Ops Taring Gelora Khas di perairan Safma, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pasukan operasi berjaya mengesan dua bot jenis pukat tunda dan merampas 17,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM1,249,375.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, dalam operasi berkenaan, PPM Kota Kinabalu mengesan dua bot jenis pukat tunda di perairan berkenaan.
Katanya, serbuan terus dijalankan dan menemui pelbagai jenis tangki minyak yang telah diubahsuai di kedua-dua bot berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut turut berjaya menemui 17,000 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai keseluruhan sebanyak RM1,249,375.
“Semua minyak diesel dan bot berkenaan terus dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sehubungan itu, Nazri menegaskan PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan Negara. – Info X