Search

SMJ Energy bantu lebih 2,000 murid, pelajar di Pitas

June 10, 2025

Info X Reporters

PITAS: Syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sabah, SMJ Energy Sdn Bhd, menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu lebih 2,000 murid dan pelajar di daerah ini.

Inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan MyKasih itu menyediakan bantuan tunai tanpa sentuh untuk pembelian makanan dan alat tulis di kantin serta koperasi sekolah.

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun yang melancarkan inisiatif itu, berkata ia sejajar komitmen SMJ Energy dalam memastikan manfaat hasil industri minyak dan gas Sabah disalurkan semula kepada rakyat.

“Program ini mencerminkan komitmen SMJ Energy untuk memastikan manfaat hasil industri minyak dan gas Sabah disalurkan semula kepada rakyat, khususnya anak-anak kita yang menjadi masa depan negeri ini.

“Jika sedikit bantuan ini mampu mengubah haluan hidup seorang pelajar, maka ia adalah satu pelaburan yang sangat besar nilainya,” katanya pada pelancaran inisiatif itu di SMK Kanibungan, di sini pada Selasa.

Program itu memberi manfaat kepada pelajar di tiga sekolah menengah dan murid di empat sekolah rendah sekitar Pitas.

Masidi menyampaikan bantuan CSR SMJ Energy di Pitas.

Penyaluran bantuan dibuat secara tanpa sentuh sebagai satu kaedah untuk memastikan ketelusan dan bantuan disalurkan terus kepada pelajar.

Masidi berkata, pemilihan Pitas sebagai lokasi program CSR itu sejajar kedudukan daerah ini yang berdepan cabaran sosio ekonomi paling besar di Sabah.

Beliau yang juga Pengerusi SMJ Energy, berkata, program CSR itu memastikan setiap murid dan pelajar diberi peluang yang sama tanpa mengira latar belakang.

Sementara itu, katanya Yayasan MyKasih memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program itu, khususnya dalam memantau dan menyediakan laporan impak berkala.

“Inisiatif ini melengkapi usaha berterusan pihak sekolah, pegawai pendidikan dan pertubuhan tempatan di Pitas.

“Kita sedar bahawa memajukan pendidikan luar bandar memerlukan kerjasama pelbagai pihak,” katanya. – Info X