TAWAU: Kegiatan seorang lelaki yang menjadikan rumahnya di Taman Sri Semarak, di sini, sebagai ‘port’ menyimpan dan mengedar air ketum terbongkar apabila diserbu polis, semalam.
Dalam serbuan jam 10.30 pagi itu, suspek warga tempatan berusia 30-an ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau ketika sedang berehat di ruang tamu rumah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan lanjut di dapur menemui dua buah peti sejuk berisi 21 botol plastik lutsinar bersaiz 1.5 liter yang mengandungi cecair disyaki air ketum.
“Jumlah keseluruhan air ketum yang dirampas dianggarkan seberat 31.2 liter dengan nilai pasaran kira-kira RM350.
“Suspek mengaku merebus sendiri air ketum itu sebelum menjualnya kepada penagih tempatan dengan harga RM20 sebotol,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda atau hukuman penjara.
Katanya, saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah, dan semakan mendapati tiada rekod jenayah lampau.
“Rampasan ini menunjukkan usaha berterusan polis membanteras penyalahgunaan bahan terlarang termasuk ketum yang kini semakin berleluasa di kawasan ini,” katanya. – Info X