KOTA KINABALU: Sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Tenom mengharumkan nama Sabah dan Malaysia apabila muncul juara keseluruhan Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa ke-26 di Istanbul, Turkiye, baru-baru ini.
Mereka yang mempersembahkan tarian tradisi masyarakat Murut, Magunatip menewaskan 13 pasukan lain dari pelbagai negara yang menyertai festival dan pertandingan bertaraf antarabangsa itu.
Jurulatih kebudayaan SMJK Chung Hwa, Tenom, Siti Faridah Lawadin, berkata kumpulan penari sekolah berkenaan turut menerima Anugerah Persembahan Terbaik pada festival itu, menjadikannya antara pasukan tarian tradisi yang terbaik di peringkat global.
Katanya, kejayaan itu adalah hasil usaha gigih pelajar serta sokongan padu daripada pihak sekolah dan komuniti.
“Mereka berjaya mengatasi 13 pasukan lain dari seluruh dunia dan muncul sebagai juara. Ini bukan saja mengangkat nama sekolah dan Sabah tetapi juga meletakkan seni tradisi kita di pentas dunia,” katanya, di sini.
Beliau berkata, penyertaan kumpulan sekolah itu menjadi platform penting dalam memartabatkan budaya tempatan di peringkat antarabangsa dan menyemai rasa bangga dalam kalangan generasi muda untuk terus mewarisi serta memelihara seni tradisi.
Persembahan pelajar sekolah itu, katanya mendapat tepukan gemuruh penonton antarabangsa dan delegasi kebudayaan yang hadir pada festival berkenaan.
Sementara itu, katanya kejayaan pasukan SMJK Chung Hwa Tenom ini menamatkan dominasi juara terdahulu dari Russia, yang memenangi edisi pertandingan pada 2024.
“Kejayaan ini menjadi bukti bahawa seni budaya warisan mampu menjadi jambatan kepada perpaduan dan kebanggaan rakyat serta sebagai aset penting dalam mengangkat imej negara di mata dunia,” katanya.
Selain tarian Magunatip, kumpulan berkenaan turut mempersembahkan tarian kipas dan pencak silat sebagai tarian warisan Malaysia.
Pelajar sekolah itu bersama jurulatih dan pegawai pengiring tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, pada Selasa.
Mereka diketuai Ketua Kontinjen, Irene Josie Sambang dan disambut wakil Jabatan Pendidikan Sabah, Pegawai Pendidikan Daerah Tenom, Ahli Lembaga Sekolah, alumni, Pengetua SMJK Chung Hwa, Oou Chu Suan serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). – Info X