Search

LELAKI ROTAN ISTERI HINGGA CEDERA DIPENJARA 10 TAHUN, EMPAT SEBATAN

April 14, 2022

admin

TAWAU: Mahkamah Sesyen, di sini, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan terhadap seorang pemilik restoran kerana mencederakan isterinya menggunakan rotan, minggu lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faizal Md Yusuf, 34, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Faizal didakwa menyebabkan kecederaan ke atas isterinya Siti Nur Ajeerah Lama, 32, menggunakan sebatang rotan di sebuah restoran, di Batu 1, Jalan Kuhara pada 6 April lalu, jam 1 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kepentingan awam dan mengambil kira kecederaan mangsa yang kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian memohon hukuman diringankan dan memberitahu mahkamah bahawa tindakan itu diambil kerana mengesyaki isterinya berlaku curang.

Awang Kerisnada kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun, bermula dari tarikh dia ditahan pada 7 April lalu dan empat sebatan.

Katanya, hukuman yang dijatuhkan itu turut mengambil kira tahap kecederaan mangsa selain menimbang fakta kes dan kepentingan awam.

Terdahulu, mangsa membuat laporan polis pada 6 April, jam 10.42 malam selepas dipukul suaminya dan mangsa juga rasa terancam kerana sering dipukul oleh tertuduh setiap kali berlaku pergaduhan. – Info X