Search

JKNS PASTIKAN PERJALANAN PENGEMBARA LUAR MUDAH MEMASUKI SABAH

April 14, 2022

admin

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan memastikan semua pengembara luar negara memasuki negeri ini bermula 16 April akan dibantu bagi memudahkan perjalanan di Sabah.

Ia termasuklah membantu memuat naik aplikasi MySejahtera dan pemeriksaan saringan Covid-19.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pihaknya sudah bersiap sedia daripada pelbagai aspek seperti membuat simulasi sebenarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Simulasi berkenaan sudah dibuat dua minggu lalu bersama semua agensi berkaitan dalam pembukaan semula sempadan negara.

“Kita menjangkakan kunjungan pelancong luar pertama adalah dari Singapura yang datang pada 16 April ini.

“Setakat ini, kita mempunyai pegawai yang mencukupi di semua lapangan terbang seluruh Sabah khususnya KKIA dalam memastikan semua SOP dilaksanakan mengikut yang sudah ditetapkan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri Kepada Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan, di sini, hari ini.

Majlis penyerahan berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Sementara itu, Hajiji berkata, pasukan keselamatan dan petugas kesihatan sudah memainkan peranan penting untuk membantu negara merealisasikan visinya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara progresif dan Sabah sebuah negeri yang makmur.

“Keamanan yang kita nikmati ketika ini membolehkan negara terus maju ke hadapan.

“Dalam konteks pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu, keamanan Malaysia adalah penting untuk membantu mendapatkan keyakinan pelabur serta menarik pelancong asing datang ke negara kita,” katanya. – Info X