KOTA KINABALU: Selepas kejayaan lagu Sumandak Sabah, Oi Gaman dan Insan Tadau, dua penyanyi kelahiran negeri di bawah bayu, Marsha Milan dan Velvet Aduk kembali menyapa peminat mereka menerusi single terbaharu berjudul Aramaitiii.
Seperti sudah menjadi suatu tradisi, dua penyanyi wanita prolifik ini pastinya akan muncul dengan karya terkini setiap tibanya musim perayaan Pesta Kaamatan yang sudah sinonim dengan masyarakat tempatan Sabah.
Ditemui ketika majlis pelancaran, Velvet Aduk, 37, kemunculan nukilan baharunya bersama Marsha dilihat sebagai tanggungjawab dalam usaha terus mempertabatkan keindahan kepelbagaian budaya Sabah.
“Banyak elemen tempatan yang dimasukkan dalam pembikinan muzik lagu Aramaitiii termasuklah instrumen muzik, tarian, pemilihan baju, lokasi menarik untuk penggambaran muzik video dan penggunaan pengaruh bahasa dialek Sabah yang sering digunakan dalam pertuturan seharian.
“Kita mahu memperlihatkan keunikan serta budaya etnik yang ada di negeri ini, bukan sahaja kepada orang luar tetapi sebagai tatapan generasi muda.
“Selain itu, perkataan Aramaitiii itu sendiri juga bukanlah sesuatu yang asing buat kita di Sabah malahan sudah dikenali di seluruh Malaysia.
“Kami memang berkeras memilih terma Aramaitiii yang cukup dekat di hati rakyat Sabah tanpa berfikir dua kali. Biarlah lirik ‘aramatiii’ itu diulang-ulang kerana paling penting mesej itu sampai serta menyentuh hati setiap pendengar.
“Oleh itu, saya dan Marsha yakin lagu ini boleh menjadi simbolik perpaduan masyarakat yang ada di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, bercakap mengenai pembikinan muzik video Aramaitiii, Marsha Milan, 37, menyatakan banyak penambahbaikan pelbagai aspek dilaksanakan berbanding muzik video lagu-lagu terdahulu.
Selaku pengarah muzik video, Marsha memaklumkan pihaknya menggunakan tenaga kerja seramai 26 kru membabitkan produksi, penata gaya dan penari.
“Jika sebelum ini kami hanya lakukan penggambaran di sekitar Kota Kinabalu disebabkan kekangan kewangan namun kali ini kami luaskan kreativiti dengan memilih lokasi menarik lain di daerah Tambunan.
“Daripada segi penggambaran, kami dalam satu pasukan memerah otak untuk menjadikan kualiti hasilnya lebih mantap.
“Walaupun mungkin terpaksa mengeluarkan wang yang banyak tetapi selepas melihat hasil akhirnya, segala usaha dan penat lelah itu dilihat berbaloi dengan segala kerja keras daripada seluruh pasukan.
“Kami berharap single duet terbaharu bersama rakan baiknya itu akan diterima baik dalam kalangan peminat serta penggemar muzik di Sabah dan Semenanjung,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Program Kupikupi FM, Lester Calvin Miol berpendapat kehadiran lagu terbaharu Marsha dan Velvet itu mampu terus mengangkat industri muzik Sabah.
“Kita selaku stesen radio tempatan juga sentiasa mengalu-alukan lagu-lagu Sabah yang berkualiti seperti Aramaitiii ini.
“Pendengar kita sendiri terdiri daripada local yang suka dengar lagu-lagu berunsur tempatan. Apabila Marsha dan Velvet mengeluarkan lagu ini, ia secara tidak langsung boleh menarik lebih ramai pendengar stesen radio yang ada di negeri ini,” katanya. – Info X