Search

Warga asing disyaki cederakan, ugut bekas isteri

June 14, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki mencederakan dan mengugut bekas isterinya dalam kejadian di Batu 3, Jalan Apas, di sini, baru-baru ini.

Suspek berusia lingkungan 30-an ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di hadapan sebuah kilang di Batu 3, Jalan Apas, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kira-kira jam 11 malam, pada 31 Mei lalu, suspek datang ke rumah bekas isterinya berusia lingkungan 40-an dengan tujuan ingin berjumpa.

“Namun adik mangsa cuba menghalang dan meminta supaya suspek tidak lagi mengganggu kakaknya. Suspek kemudian bertindak agresif dengan memukul adik mangsa berusia 25 tahun.

“Mangsa cuba meleraikan namun turut dipukul oleh suspek dan mengugut untuk membakar rumah yang didiami mangsa sekeluarga dan akan memukul mangsa sekiranya bertemu di luar.

“Kejadian itu turut menyebabkan mangsa cedera di muka dan hidung manakala adiknya cedera di muka dan patah satu batang gigi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas laporan polis yang dibuat pada 1 Jun, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan dan menahan suspek.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman untuk siasatan lanjut,” katanya. – Info X