LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 76 tan minyak sawit mentah (CPO) yang dipercayai cuba diseleweng dalam operasi di sebuah premis tidak bernombor di Batu 15, Jalan Lahad Datu – Kinabatangan, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 11.40 pagi itu, semua minyak sawit mentah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2.33 juta berdasarkan harga pasaran semasa.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, ketika serbuan dijalankan, pasukan operasi mengesan sebuah lori tanker dan van di premis berkenaan.
Katanya, pihaknya percaya kedua-dua kenderaan digunakan untuk tujuan mengangkut dan menyimpan minyak mentah kelapa sawit (CPO) secara haram.
Katanya, empat individu berusia 29 hingga 53 tahun yang berada di lokasi turut ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
“Pasukan operasi terus merampas dua lori treler, van, tangki minyak dan pelbagai kelengkapan termasuk pam yang disyaki untuk aktiviti penyelewengan.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah RM2.33 juta dan semua barangan dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Peraturan 5 (1) (d) PPLMSM 2005, iaitu menyimpan minyak mentah kelapa sawit (CPO) tanpa lesen.
Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara. – Info X