Search

Isu air di sekolah: PIBKS, PIBG bantu sekolah tangani gangguan bekalan

June 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta Dalam Pendidikan (PIBKS) akan bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membantu mengurangkan masalah gangguan bekalan air di sekolah.

Pengerusi PIBKS Sabah, Datuk Mohd Arif Sakaran, berkata pihaknya dimaklumkan ada sekolah di sekitar bandar raya ini yang berdepan masalah itu berikutan tekanan air rendah menyebabkan bekalan air di sekolah terganggu.

Katanya, pam terpaksa digunakan untuk menyedut air paip, namun kerap rosak disebabkan kadar penggunaan yang tinggi bagi mengepam air paip yang rendah tekanannya.

Beliau berkata, walaupun situasi itu bukan berlaku sepanjang masa, namun langkah menanganinya perlu diambil bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan kepada warga sekolah, terutama yang ada program pendidikan khas.

“Kita mendapat maklumat bahawa tekanan air di sekitar kawasan ini yang mana selalunya begitu rendah, menimbulkan masalah kepada pihak sekolah kerana pam air yang digunakan mudah rosak.

“Kesannya, air tidak dapat dipam dengan baik untuk memenuhi keperluan sekolah, lebih-lebih lagi sekolah yang ada program pendidikan khas kerana murid program itu ramai yang memerlukan penjagaan rapi dari segi kebersihan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-50 PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, di sini.

SK Sembulan adalah antara sekolah yang dikenal pasti menghadapi masalah air, tapi sudah dibawa ke perhatian PIBKS untuk membantu mengatasi perkara itu.

Sebagai langkah segera, katanya PIBKS dan PIBG SK Sembulan baru-baru ini menyumbang tangki bagi menadah air hujan untuk menampung keperluan air cucian murid dan guru sekolah itu.

“PIBG bekerjasama dengan PIBKS, baru-baru ini telah membekalkan, memberi tangki air supaya mudah untuk pihak sekolah kerana kalau kita di Kota Kinabalu ini, hujan begitu tinggi juga.

“Jadi bolehlah digunakan tadahan air hujan untuk membantu sekolah kerana kita faham di sekolah ini mempunyai pelajar pendidikan khas yang mana memerlukan begitu banyak air, bekalan air untuk mereka gunakan.

“PIBG dengan PIBKS akan sentiasa mengambil inisiatif untuk mencari jalan bagaimana cara kita menangani gangguan air ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah juga sudah mengajukan masalah yang dihadapi itu dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi menyelesaikannya.

Katanya, PIBKS dan PIBG akan sentiasa memantau situasi gangguan bekalan air di sekolah bagi memastikan langkah segera diambil untuk mengatasinya jika perkara itu berlaku. – Info X