Search

56 ditahan dalam operasi bersepadu ESSCOM

June 14, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Seramai 56 individu, termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua suspek kes dadah, ditahan dalam Operasi Bersepadu Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di sekitar daerah ini.

Operasi yang berlangsung selama dua hari bermula 12 Jun lalu itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta jabatan-jabatan kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Victor B Sanjos berkata, operasi menyasarkan kawasan penempatan pinggir bandar dan sekitar pasar umum Semporna dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM63,987.50.

Katanya, sepanjang operasi, sebanyak 147 pemeriksaan fizikal ke atas individu serta 104 premis termasuk rumah dan kedai dilaksanakan.

“Hasilnya, seramai 34 PATI warga Filipina ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 51(5)(b), Akta Imigresen 1959/63.

“Selain itu, 16 lagi individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dokumen pengenalan diri di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pegawai ESSCOM memeriksa barang rampasan dalam operasi bersepadu di Semporna.

Dalam operasi sama, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Semporna turut menahan dua individu bersama 15.94 gram dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, kedua-dua mereka kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna bersama Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak turut merampas sejumlah besar minyak petrol dan minyak masak bersubsidi yang diselewengkan.

“Turut dirampas sebuah bot kayu bersama enjin sangkut yang digunakan dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan itu dan empat individu ditahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Victor berkata, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) sentiasa terjamin selain membanteras aktiviti penyeludupan, ketirisan barangan kawalan dan penyusupan PATI.

“Ini sebahagian daripada pendekatan menyeluruh Operasi SANGGAH ESSCOM yang bertujuan memperkasakan usaha agensi keselamatan dan penguat kuasa di lapangan, selaras dengan komitmen ESSCOM ke arah prinsip ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’.

“Ia juga menjadi manifestasi kesungguhan kerajaan dalam menjamin keselamatan Sabah Timur demi mencapai matlamat Agenda Malaysia MADANI,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 135 pegawai dan anggota pelbagai agensi yang menjayakan operasi kali ini termasuk IPD Semporna, BSJND, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, PGA, APMM, JIM, KPDN, Jabatan Perhutanan serta pihak berkuasa tempatan.

“ESSCOM akan terus mempergiatkan operasi seumpamanya ke seluruh daerah ESSZONE dan menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah rentas sempadan melalui Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072,” katanya. – Info X