KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar balik sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China ke negara asal, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi pemindahan tahanan ke negara asal itu ialah dilaksanakan menerusi kategori usir melalui udara.
Katanya, semua PATI yang dipindahkan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Mereka turut dikenakan hukuman mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
“Semua PATI telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan balik ke negara asal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.
“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.
“Selain itu, individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, pihak JIM turut menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.
Katanya, JIM juga akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PATI di negara ini. – Info X