Search

19 kontinjen, 1,300 atlet meriahkan kejohanan Sukan IPT Sabah

June 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 19 kontinjen mewakili institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Sabah mengambil bahagian dalam Kejohanan Sukan IPT Sabah yang julung kali diadakan.

Kejohanan disertai lebih 1,300 atlet itu berlangsung selama empat hari di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, bermula pada 12 Jun lalu.

Sebanyak 10 acara sukan dipertandingkan sepanjang kejohanan itu, iaitu badminton, bola jaring, bola tampar, bola sepak, futsal, olahraga, sepak takraw, petanque, catur dan e-sports.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang merasmikan kejohanan itu pada Sabtu berkata, penganjuran sukan berkenaan diharap dapat melahirkan atlet yang akan mewakili Sabah ke peringkat lebih tinggi seperti sukan antara universiti kebangsaan.

“Kita berharap menerusi kejohanan ini kita akan dapat melatih atlet-atlet kita supaya bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada Inter Asian University (IAU), di Kuala Lumpur pada tahun hadapan.

“Jadi ini saya fikir ini amat penting dan Insyaallah kita akan adakan ini setiap tahun. Sebab kita fikirkan ini adalah platform untuk kita menyatukan IPT di Sabah ini dalam konteks sukan,”katanya.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor; Timbalan Setiausaha Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr Hanafiah Ayub; Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Md Nor Abdul Halim; dan Naib Canselor University College Sabah Foundation, Datuk Dr Rafiq Idris.

Mustapha berkata, selain melahirkan tenaga mahir yang berkualiti, aktiviti sukan dan akademik juga mampu memberi pemikiran yang sihat dan berkualiti.

Budaya itu, katanya perlu dikembangkan kerana negara memerlukan tenaga mahir yang sihat untuk menyumbang kepada negara dan negeri. – Info X