Search

PRN17: ‘Biarkan BN dan GRS bertembung, tunaikan hajat Bung Moktar’ – Armizan

June 14, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengenai kerjasama Barisan Nasional (BN) dan GRS hanya dipertimbangkan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) wajar disokong dan ditunaikan.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS, berkata secara peribadi beliau bersetuju dengan Bung Moktar untuk membiarkan GRS dan BN bertembung pada pilihan raya itu nanti.

“Seperkara saya bersetuju dengan YB DSP Bung adalah biarkan GRS dan BN bertembung dalam pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.

“Semua pihak ‘perlu tunaikan hajat Bung’ ini dan tidak ada sesiapa, walau di peringkat mana sekalipun, wajar membelakangkan pendirian Bung sebagai Ketua UMNO Sabah yang berautonomi.

“Hanya dengan bertarung kekuatan sebenar akan menoktahkan isu siapa khianat dan siapa yang kuat. Tidak akan ada lagi tuduh-menuduh calon parti A menang bukan kerana kekuatan sendiri, tapi kerana parti B dan sebaliknya.

“Setakat ini saya tidak bercakap mewakili GRS secara rasmi, dan ini adalah pendapat peribadi saya. Saya bersetuju dan hajat Bung perlu ditunaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tempasuk, di sini, pada Sabtu.

Armizan bersama perwakilan Gagasan Rakyat Tempasuk di Kota Belud.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bung Moktar mengenai kerjasama BN dengan GRS hanya dipertimbang selepas PRN, sama ada ia bermaksud BN dan GRS akan bertembung pada PRN17.

Beliau berkata pendirian GRS setakat ini seperti pernah disebut oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor adalah terbuka untuk meneruskan kerjasama dengan parti teras yang membentuk Kerajaan Negeri hari ini iaitu GRS dan Pakatan Harapab (PH).

“Kita wajar hargai pendirian PH yang telah mengutamakan kestabilan dengan menolak Langkah Kinabalu dahulu dan memilih untuk menyokong DSP Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri.

“Saya melihat hari ini kerajaan berjalan dengan amat baik melalui kombinasi kerjasama sedia ada. Saya fikir melihat kepada suara dan sentimen pemimpin dan pendokong GRS di akar umbi, mereka memang mahu bertembung dengan BN,” katanya.

Beliau berkata, kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang.

“Pertama, tidak ada terkandung dalam MOU Pembentukan Kerajaan Perpaduan bahawa kerjasama itu wajib dipanjangkan ke peringkat negeri. PRN ini memilih Kerajaan Negeri dan bukannya Kerajaan Persekutuan.

“Kedua, apa yang penting adalah komitmen semua sebagaimana dalam MOU Kerajaan Perpaduan adalah pihak-pihak yang terlibat wajar memastikan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan perlu dikekalkan sehingga tempoh yang ditetapkan.

“Ketiga, pertembungan sesama parti yang menganggotai Kerajaan Persekutuan pada pilihan raya negeri bukan perkara baharu. Pernah berlaku di Sabah satu masa dahulu, dan berlaku juga di Melaka dan Johor dalam pilihan raya negeri yang lalu,” katanya.

Armizan berpandangan, sama ada bekerjasama atau tidak, perkara itu tidak seharusnya dijadikan polemik berpanjangan, sebaliknya rakyat perlu diberi peluang seluas-luas pilihan untuk menilai dan membuat pilihan. – Info X