KOTA BELUD: Perkhidmatan Pengisian Bahan Api Mudah Alih PETRONAS (ROVR) bakal beroperasi di Kampung Kuala Abai, di sini, bermula 21 Jun ini.
Mengumumkan pembukaan ROVR kedua di Sabah itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ia selaras komitmen kementeriannya dalam memastikan akses kepada bekalan bahan api yang menyeluruh kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk komuniti luar bandar dan pedalaman.
Katanya, ROVR adalah inisiatif PETRONAS Dagangan Berhad sejak 2018 sebagai langkah strategik yang amat bertepatan dalam memperkukuh jaringan bekalan bahan api kepada rakyat di seluruh negara.
“Buat masa ini, ROVR beroperasi di Sabah dan Sarawak. Sebanyak enam di Sarawak dan satu di Sabah, iaitu di Beaufort.
“Pembukaan ROVR di Kuala Abai ini menjadikan jumlah keseluruhan lapan ROVR bagi kawasan luar bandar.
“Perkhidmatan ROVR bukan sekadar satu penyelesaian logistik, malah satu keperluan kepada penduduk di kawasan luar bandar atau pedalaman untuk mendapatkan bekalan petrol RON95,” katanya ketika meninjau pelaksanaan ROVR itu di Kuala Abai, pada Sabtu.
Katanya, melalui kewujudan ROVR itu, penduduk dapat menikmati kemudahan pengisian bahan api yang lebih dekat, mudah dan selamat.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada PETRONAS Dagangan Berhad atas kerjasama strategik yang berterusan bersama KPDN dalam memperluaskan liputan ROVR ke kawasan yang memerlukan.
“Sehingga kini, ROVR telah mengagihkan lebih 250 juta liter bahan api sejak ia dilancarkan dan keberkesanannya telah terbukti dalam menyokong mobiliti harian serta semasa situasi kecemasan negara seperti pandemik COVID-19 dan bencana banjir,” katanya.
Beliau berkata, nelayan adalah komuniti terbesar yang menggunakan ROVR di Sabah dan Sarawak.
Jelasnya, pembukaan ROVR di Kuala Abai, yang akan dikendalikan oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kota Belud, adalah satu langkah tepat ke arah merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.
“Melalui pembukaan ROVR di Kuala Abai, antara sektor ekonomi setempat yang bakal menerima manfaat daripada kemudahan ROVR di sini adalah perikanan dan pertanian di kampung sekitar seperti Kampung Kuala Abai, Kampung Buah Pandai, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Kulambai.
“Dengan kehadiran ROVR yang membekalkan bahan api terus ke kawasan nelayan, mereka tidak lagi perlu melakukan perjalanan jauh ke stesen minyak, sekali gus mengurangkan kos operasi harian,” katanya.
Selain itu, katanya kehadiran ROVR turut menyokong kelangsungan ekonomi komuniti nelayan setempat dengan memastikan bekalan bahan api sentiasa mencukupi dan mudah diperoleh, terutama pada musim tengkujuh atau ketika permintaan tinggi.
“KPDN akan terus memastikan bekalan petrol RON95 pada harga runcit terkawal sampai ke tangan rakyat, tanpa mengira lokasi geografi.
“Usaha ini bukan saja menjamin keadilan tenaga tetapi juga mengurangkan beban kos sara hidup penduduk luar bandar serta menyokong pertumbuhan sosio ekonomi setempat,” katanya. – Info X