Search

Lelaki dipatuk ular berbisa ketika berwuduk

June 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki terpaksa menangguhkan solatnya selepas cedera dipatuk ular berbisa ketika mengambil air wuduk berhampiran tandas Taman Awam Pantai Tanjung Aru, di sini, semalam.

Khidmat Petugas Menara Penyelamat Pantai (MPP) Tanjung Aru, terpaksa digunakan bagi memberi rawatan awal kepada mangsa berusia 30-an sebelum dihantar ke hospital.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu kepada petugas MPP Tanjung Aru, pada jam 2 petang.

Katanya, anggota yang bertugas di menara segera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 200 meter untuk membuat penilaian awal terhadap mangsa.

“Hasil penilaian mendapati terdapat kesan patukan ular pada ibu jari kaki kanan mangsa. Mangsa memberitahu bahawa ular yang mematuknya berwarna hitam dan mengeluarkan bunyi dengusan.

“Berdasarkan keterangan itu, anggota bertugas mengenal pasti ular berkenaan sebagai spesis ular tedung atau ‘spitting cobra’,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans APM Kota Kinabalu. – Pix APM

Menurutnya, anggota bertugas kemudian memberikan rawatan awal dengan membersihkan luka akibat patukan ular.

“Dalam masa yang sama menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu untuk meminta bantuan menghantar mangsa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) menggunakan ambulans APM.

“Setiba di hospital mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X