Search

Lapan rumah terbakar, seorang anggota bomba cedera terkena renjatan elektrik

June 16, 2025

Info X Reporters

PUTATAN: Lapan rumah jenis tidak kekal dan lima kenderaan musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Petagas, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, seorang anggota bomba dilaporkan turut cedera selepas terkena renjatan elektrik ketika operasi pemadaman kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Zainuddin Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 4 petang.

Katanya, sepasukan 22 anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian termasuk pasukan bantuan daripada BBP Penampang, BBP Kota Kinabalu dan BBP Tuaran.

Rumah yang musnah dalam kebakaran rumah di Kampung Petagas, Putatan.

“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran didapati membabitkan lapan rumah jenis separuh kekal yang musnah sepenuhnya.

“Pasukan operasi terus melaksanakan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 122 meter dengan empat pancutan dari jentera dan sumber air terbuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 4.55 petang dan operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Sementara itu, Zainuddin berkata, anggota bomba berusia 27 tahun yang cedera dipercayai terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja-kerja pemadaman.

Kereta yang turut musnah dalam kebakaran di Kampung Petagas, Putatan.

Katanya, sebaik insiden berkenaan, anggota terbabit dihantar ke hospital menggunakan ambulance Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapat rawatan lanjutnya.

“Anggota terbabit masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya. – Info X