Search

PRN17: Pemimpin Gagasan Rakyat beri peringatan soal perpaduan parti, pertahan kerajaan

June 17, 2025

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) perlu mengukuhkan perpaduan dan mengurangkan perselisihan sesama sesendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang semakin hampir.

Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda, berkata, ketika ini semua pihak perlu memberi keutamaan kepada usaha mempertahankan kerajaan diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bukannya isu lain yang boleh melemahkan parti.

Jelasnya, perjuangan perlu difokuskan kepada usaha memastikan kepimpinan diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berjaya mendapat mandat baharu daripada rakyat dalam membawa kemajuan dan pembangunan di negeri ini.

“Gerak kerja kita perlu bersepadu, saling sokong-menyokong, saling menutupi ruang kelemahan dan kekurangan yang ada serta saling menjayakan apa saja program yang dirancang. Ibarat tiang rumah yang menyokong serta batu-bata yang saling mengukuh.

“Jika ada sebarang perbezaan pendapat dan perselisihan, selesaikan saja di meja rundingan. Jangan gunakan media sosial untuk meluahkan perasaan kerana tiada kebaikan yang diperoleh kepada parti, sebaliknya memberi peluang kepada pihak lawan untuk mengalahkan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Bandau di Dewan Komuniti Kota Marudu, pada Ahad.

Persidangan itu dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Maijul Mahap yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau.

Redonah yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bandau, berkata perpaduan jentera parti akan menterjemahkan semangat saling menghormati antara anggota serta kesetiaan kepada kepimpinan.

“Tanpa perpaduan dan kesetiaan, usaha dan kerja keras kita akan menjadi sia-sia. Apa lagi untuk kita pertahankan kerajaan yang diteraju Presiden Gagasan Rakyat, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Amat penting bagi kita semua untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dibuktikan oleh Ketua Menteri kita, malah Sabah hari ini begitu stabil, makmur dan terus bergerak maju di bawah kepimpinan beliau,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jentera parti bahawa parti lawan sentiasa mencari kelemahan dan keburukan Gagasan Rakyat bagi menarik sokongan rakyat.

Katanya, pembangkang berusaha menanam kebencian serta memutarbelitkan fakta bagi mengelirukan orang ramai ketika pilihan raya semakin hampir.

Sehubungan itu, katanya semua pihak tidak lagi boleh leka dalam melaksanakan gerak kerja termasuk menyalurkan maklumat yang betul dan tepat kepada rakyat. – Info X