KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang individu awam akan ditahan dan didakwa di mahkamah berhubung kes rasuah dikaitkan dengan penerokaan sumber mineral Sabah yang membabitkan ADUN dari negeri ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika ditemui pada satu program di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sabah, di Sepanggar, dekat sini, hari ini.
Beliau mengesahkan, dua ADUN dan seorang individu awam itu sedang dalam proses untuk ditahan dan akan dihadapkan ke mahkamah sebelum akhir bulan ini.
“Ya, kes ADUN ini saya ingin menyatakan bahawa ada dua suspek daripada pihak ADUN dan seorang awam dalam proses untuk kita menjalankan tangkapan dan memberitahu mereka tarikh mereka kena hadir ke mahkamah.
“Tarikh saya tidak akan memberitahunya sehingga proses ini selesai tetapi saya beri jaminan mereka akan didakwa di mahkamah dalam bulan ini, mungkin pada akhir bulan ini.
“Ia bergantung kepada tarikh mahkamah yang akan ditetapkan kerana mahkamah rasuah di Sabah ada tarikh-tarikh tertentu dan kita sedang mendapatkan tarikhnya daripada mahkamah
“Jadi mereka ini dalam proses untuk dipanggil untuk dijalankan proses rakaman percakapan,” katanya.
Terdahulu, pagi tadi, seorang SPRM dipercayai memanggil ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob untuk memberi keterangan berhubung kes rasuah berkenaan.
Menurut sumber, Pengerusi Qhazanah Sabah itu tiba di ibu pejabat SPRM Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, pada kira-kira jam 8.45 pagi tadi.
Difahamkan, Dr Yusof adalah antara dua ADUN yang dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM hari ini, namun seorang lagi, setakat ini, belum menghadirkan diri.
Pada 12 Jun lalu, Azam dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa di mahkamah berhubung dakwaan rasuah membabitkan ADUN tertentu di Sabah.
Katanya, beberapa individu sudah dikenal pasti dan tindakan pendakwaan akan dilakukan dalam masa terdekat. – Info X