TUARAN: Aktiviti mandi sungai dua sahabat berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas dalam kejadian di Kampung Rugading, Kiulu, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.22 petang.
“Seorang lelaki berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala seorang lagi lelaki yang juga rakan mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam.
“Mangsa yang selamat berusia 27 tahun diberi rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, katanya, mayat mangsa yang ditemui orang awam kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 6.15 petang,” katanya. – Info X