KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah ditahan pagi tadi namun telah dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.
Menurut sumber, selain ADUN terbabit, seorang lagi ahli perniagaan bergelar Datuk turut ditahan di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya, pagi ini, namun kemudian dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin tempatan.
Katanya, dua individu terbabit ditahan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di negeri ini.
“Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 60-an itu telah ditahan kira-kira jam 9.45 dan 11.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah dan juga di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang ahli perniagan dan ADUN dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dan 2024.
“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek disyaki saling meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM200,000 antara satu sama lain bagi membantu menguruskan permohonan lesen cari gali di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, suspek yang merupakan seorang ahli perniagaan telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM100,000 (deposit sebanyak RM10,000) dengan dua orang penjamin.
Manakala seorang lagi suspek iaitu ADUN turut dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.
Terdahulu pagi tadi, Info X melaporkan, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob diambil keterangan selama hampir empat jam di pejabat SPRM Sabah.
Sumber memberitahu, ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu meninggalkan pejabat SPRM Sabah, di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Katanya, Pengerusi Qhazanah itu dilepaskan dengan jaminan dan akan didakwa pada penghujung bulan ini.
Sementara itu, peguam kepada pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah Sabah memaklumkan anak guamnya itu dijadualkan didakwa pada 30 Jun ini.
Pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah Sabah kini dijadualkan untuk didakwa pada 30 Jun, satu tindakan yang disifatkan oleh peguamnya Mahajoth Singh sebagai “mengejut dan mengecewakan”.
Menurut laporan Malaysiakini, Mahajoth berkata, apabila dia dan anak guamnya tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya petang tadi, mereka dimaklumkan bahawa “arahan daripada atas” telah diterima untuk sebaliknya mendakwa anak guamnya. – Info X