Search

Isteri rentung, suami melecur kedai runcit terbakar

June 20, 2025

Info X Reporters

BELURAN: Seorang wanita ditemukan rentung, manakala suaminya melecur dalam kebakaran membabitkan kedai runcit di Kampung Nangoh, Telupid, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.20 pagi, mangsa Lim Bee Chiew, 58, maut dipercayai akibat terperangkap manakala suaminya, Chee Kiong, 60, yang cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Penolong Penguasa Bomba, Edoen Macheal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.23 pagi.

Katanya, seramai lima anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 77 kilometer dari balai bomba.

“Kebakaran membabitkan sebuah kedai runcit dan simpanan tong minyak kapasiti 200 liter dan tong gas petroleum cecair (LPG) jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

“Turut terbakar sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seorang wanita rentung manakala suaminya cedera dalam kebakaran membabitkan kedai runcit di Nangoh, Telupid, Beluran. – Pix/Bomba

Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dengan satu pancutan dari sumber air dari air terbuka.

“Terdapat dua mangsa terbabit, seorang mangsa lelaki cedera telah dihantar ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang lagi mangsa wanita meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Isu kekangan talian telefon antara menjadi cabaran kepada pasukan operasi untuk tiba di lokasi kebakaran lebih awal, katanya.

Katanya lagi, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.53 tengah hari,” katanya. – Info X