KOTA KINABALU: Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang disertai kira-kira 100 orang berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Himpunan anjuran kumpulan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu membabitkan perarakan di sekitar pusat bandar raya Kota Kinabalu.
Perhimpunan itu juga menyaksikan tiada kejadian tidak diingini berlaku selepas pihak polis berjaya mengawal keadaan dengan baik.
Peserta berhimpun dan memulakan perarakan dari Suria Sabah dengan melalui beberapa laluan utama di ibu negeri, sebelum berakhir di Lintasan Deasoka, dekat Jalan Gaya.
Meskipun hujan, peserta perhimpunan setia bergerak sambil menjerit ‘hidup rakyat, tolak perasuah, bangkit rakyat Sabah dan mana air.

Peserta perhimpunan turut dilihat membawa plakad dan sepanduk tertulis ‘Pemuda pemudi semua, marilah bangunlah bersatu semua, ‘Mahasiswa melawan menteri ketakutan’ dan Kenyang Makan Rasuah’, ‘Turun Jalan Lawan Rasuah’, ‘Sambil demo sambil tadah air’.
Kumpulan berkenaan antara lain menuntut tindakan perundangan terhadap JANS, autonomi penuh SPRM, tindakan tegas kepada perasuah serta gantung tugas kepada yang didakwa dan membantah pelantikan TYT Sabah serta gesaan untuk membuka semula kes rasuahnya.
Ia berikutan masalah air yang berlaku di UMS dan isu rasuah membabitkan pemimpin negeri. – Info X