KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tidak berniat untuk menjadi atau dianggap sebagai ‘abang besar’ dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Setiausaha Agungnya, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, menegaskan sebagai antara parti komponen GRS, Gagasan Rakyat mengamalkan pendekatan inklusif dan menghormati semua parti komponen.
Jelasnya, kerjasama erat dan kestabilan antara parti dalam GRS adalah kunci kepada kemajuan Sabah, bukan terhasil daripada dominasi satu pihak ke atas yang lain.
“Kita tidak letakkan kepentingan peribadi di depan kerana budaya Gagasan Rakyat bukan mahu menjadi ‘abang besar’ tetapi kita mahu semua komponen GRS bergerak bersama secara saling hormat dan sepakat. Kita belajar daripada kesilapan lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Darau yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali pada Ahad.
Sementara itu, mengulas usul sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Darau yang mencadangkan beliau sebagai calon GRS pada PRN17, Razali menerimanya secara terbuka, namun menegaskan kehendak rakyat sebagai keutamaan.
“Saya hargai aspirasi akar umbi. Tapi, akhirnya kita perlu turun ke bawah dan lihat sendiri sama ada rakyat mahukan kita, itu ukuran sebenar,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, turut menyatakan keterbukaannya menerima keputusan jika Gagasan Rakyat tidak dipilih meletak calon di kawasan itu.
Katanya, perkara itu tidak menjadi masalah asalkan keputusan berkenaan dibuat secara konsensus bersama semua pemimpin parti demi kestabilan politik Sabah.
“Saya akan terima dengan hati terbuka jika presiden parti memutuskan calon bukan dari kita, yang saya mahu, presiden kita kekal sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Setiausaha Eksekutif GRS, turut menyuarakan sokongan terhadap kenyataan Armizan mengenai hubungan Sabah dengan Persekutuan yang harus berlandaskan antara kerajaan dan bukan dikuasai keputusan parti nasional.
“Kita pernah alami dahulu di mana segala keputusan perlu dirujuk ke Kuala Lumpur dan wakil Sabah tiada kebebasan. Sekarang sudah tiba masa kita bergerak secara berdikari dan matang dalam menentukan hala tuju negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Razali mempertahankan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan kerajaan negeri yang disifatkannya sebagai pelan pembangunan yang jelas, tersusun dan bertulis.
Katanya, apa yang dibuat oleh kerajaan pimpinan GRS berbeza dengan kerajaan terdahulu yang disifatkannya hanya bergantung kepada retorik.
“SMJ bukan sembang kosong di kedai kopi. Ia satu dokumen rasmi pembangunan negeri. Kita bukan ahli silap mata, masalah 30 tahun tidak boleh selesai dalam tiga tahun, ia perlukan masa dan kestabilan,” katanya mengulas kritikan pembangkang terhadap dasar SMJ. – Info X