KOTA KINABALU: Polis menerima enam laporan polis dan membuka tiga kertas siasatan berhubung penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang diadakan di pusat bandar raya Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, susulan daripada laporan polis yang diterima sebelum ini, pihaknya mengesan sembilan kesalahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah menghasut, membuat pembakaran di tempat awam termasuk membawa bahan kakisan atau berbahaya seperti minyak dalam perhimpunan, serta menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
“Pihak polis akan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada terutama sekali Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan sebagai inti utama kepada siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, perhimpunan berkenaan tidak pernah mendapat kelulusan sebaliknya hanya maklum balas daripada pemberitahuan yang dibuat oleh pihak penganjur.
Katanya, susulan pemberitahuan berkenaan, pihak polis memberikan maklum balas dengan meletakkan syarat-syarat untuk kepentingan keseluruhan masyarakat ataupun untuk memastikan ketenteraan awam sepanjang perhimpunan itu berlangsung.
“Kertas siasatan telah kita buka untuk siasatan lanjut berdasarkan kepada undang-undang yang wujud di negara kita dan apabila siasatan siap, kita akan rujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut bagi tujuan pertuduhan.
“Sebagaimana yang para wartawan sendiri nampak dalam insiden yang berlaku ketika perhimpunan ini, terdapat insiden-insiden yang seharusnya tidak berlaku. Jadi ekoran daripada itulah, sama ada di pihak PDRM ataupun orang awam sendiri beberapa laporan polis telahpun diterima,” katanya.
Jauteh berkata, dalam kes berkenaan, PDRM telah mengeluarkan maklum balas dengan menetapkan 15 syarat untuk dipatuhi pihak penganjur dan ia bukan kelulusan sebaliknya dalah maklum balas atas pemberitahuan.
“Malangnya, pihak penganjur gagal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya. – Info X