Search

6 nelayan Vietnam ditahan tangkap balat, rampasan hampir RM2 juta

June 25, 2025

Info X Reporters

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kudat menahan seramai enam nelayan Vietnam kerana menceroboh dan melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara ini.

Semua nelayan terbabit termasuk tekong dan enam awak-awak berusia antara 27 hingga 44 tahun ditahan bot ronda Cenderawasih 10 ketika itu sedang menjalankan rutin rondaan di kedudukan 13 batu nautika timur laut Pulau Tigabu, Pitas, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, penahanan bot itu dilakukan hasil maklumat awam berkaitan kehadiran bot mencurigakan di kawasan perairan berkenaan.

“Sebaik menerima maklumat, bot ronda Cenderawasih 10 yang sedang menjalankan rondaan rutin diatur gerak ke lokasi bagi melakukan pemantauan.

“Bot suspek dikesan sekitar jam 5.5 petang dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi, namun berjaya dipintas dan ditahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati enam kru termasuk tekong bot tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot turut menemui peralatan menangkap ikan jenis ‘balat’ yang diperbuat daripada besi serta kira-kira 300 liter minyak diesel.

“Anggaran nilai rampasan termasuk bot dan peralatan hampir RM2 juta. Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Jeti APMM Kudat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63. – Info X