PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengulangi pendirian parti itu untuk kekal setia bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pemangku Presidennya, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS memutuskan perkara itu pada mesyuarat di ibu pejabat parti, di sini, pada Rabu.
Katanya, mesyuarat itu membincangkan hala tuju strategik dan beberapa perkara utama berkaitan parti.

“Kedudukan kita cukup jelas, PBS akan terus bekerja dalam GRS. Kita komited terhadap kerjasama politik ini untuk kita menghadapi PRN17,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dr Joachim berkata PBS turut mengulangi komitmennya untuk mengukuhkan hubungan dan kolaborasi dengan rakan komponen GRS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), diketuai Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
“Kita percaya perpaduan dalam kalangan parti tempatan penting bagi memastikan kestabilan politik dan pembangunan yang berterusan untuk Sabah.
“Hubungan kita dengan STAR akan dimantapkan lagi,” katanya.
Pada mesyuarat itu juga, katanya majoriti AMT PBS tidak mahu parti itu bekerjasama dengan UMNO Barisan Nasional (BN).
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang menyediakan input hala tuju strategik parti.
“Pairin berkongsi pandangan bermakna ketika mesyuarat Biro Politik. Bimbingannya atas hala tuju atau panduan masa depan PBS kekal signifikan kepada kepemimpinan parti,” katanya.
Dr Joachim berkata, mesyuarat AMT PBS turut membincangkan persiapan pilihan raya dan usaha berterusan akar umbi untuk mengukuhkan sokongan terhadap PBS menjelang PRN17.
Beliau berkata, PBS akan terus fokus terhadap usaha memperjuang kepentingan tempatan, hak anak negeri dan memastikan suara Sabah didengari dalam hal ehwal nasional melalui libat urus politik yang membina.
Timbalan Ketua Menteri itu juga meminta ahli PBS supaya kekal bersatu dan komited terhadap perjuangan parti serta menggesa mereka bersedia sepenuhnya menghadapi pertempuran pilihan raya dengan yakin. – Info X