TAWAU: Barisan Nasional (BN) Bahagian Kalabakan menyusun langkah strategik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Pengerusinya, Samasuddin Yusop, berkata jentera BN di bahagian itu akan digerakkan secara menyeluruh dan inklusif dengan penyertaan semua peringkat kepimpinan parti serta akar umbi.
Katanya, PRN17 memerlukan perancangan lebih sistematik dan BN Kalabakan komited membina strategi berpaksikan suara rakyat dan realiti semasa.
“Kita mahu bawa politik yang mampu menyelesaikan masalah dengan baik, bukan hanya sekadar janji kosong,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Kalabakan, berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat BN Kalabakan Bil 01/2025 di Pejabat BN Kalabakan, di sini, pada Khamis.

Mesyuarat itu dihadiri kepemimpinan utama parti komponen termasuk Ketua Bahagian MCA Kalabakan dan wakil Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Bahagian Kalabakan merangkumi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kukusan, Tanjung Batu, Merotai dan Sebatik.
Samasudin berkata, antara perkara utama yang dibincangkan pada mesyuarat itu ialah penubuhan struktur jentera PRN17 BN Kalabakan dan penyelarasan naratif kempen yang memberi penekanan kepada isu rakyat.
Katanya, isu seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, akses pendidikan, kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti akan diberi perhatian sebagai fokus utama dalam agenda kempen BN Kalabakan.
Sementara itu, katanya, dalam usaha memperkukuh hubungan dengan rakyat, BN Kalabakan turut melancarkan inisiatif komunikasi akar umbi yang dikenali Teh dan Sanggar (TEGAR).
Menurutnya, ia adalah simbolik kepada sesi santai minum petang atau malam bersama pelbagai lapisan masyarakat termasuk anak muda, wanita, usahawan kecil dan penduduk kampung.
“Program TEGAR dimulakan di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Batu dan akan diperluas ke seluruh kawasan Parlimen Kalabakan sebagai platform mendengar keluhan serta merangka penyelesaian bersama rakyat,” katanya.
Selain itu, Samasuddin berkata BN Kalabakan turut memutuskan pelaksanaan dua inisiatif utama iaitu Radu Tatap Radu Jelajah PDM dan pelancaran Studio Komuniti 1.9.SATU.
“Program jelajah ini akan mengukuhkan jaringan komunikasi dan semangat kerja dalam kalangan petugas BN di setiap peringkat.
“Studio Komuniti 1.9.SATU pula diwujudkan sebagai platform digital yang akan mengetengahkan suara rakyat serta bakat tempatan menerusi kandungan seperti video, podcast dan dokumentari yang memberi tumpuan kepada kehidupan dan realiti masyarakat di Kalabakan dan Tawau.
“Kita bukan saja mahu menang tetapi menang dengan maruah. Kita mahu rakyat Kalabakan lihat BN sebagai penyambung harapan, bukan sekadar pilihan politik,” katanya.
Katanya, BN Kalabakan akan terus memperkukuh kekuatan dalaman dan menyusun gerak kerja secara sistematik dalam usaha menawarkan pendekatan politik bersifat rakyat-sentrik menjelang PRN17. – Info X