KOTA KINABALU: Sabah Electricity hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah bagi meningkatkan sambungan elektrik di kawasan yang belum diliputi.
MoU selama setahun itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar dan Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang dengan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini.
Selain sambungan elektrik, MoU itu turut menumpukan kerjasama membangunkan infrastruktur tenaga mampan dan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai perkhidmatan dan fungsi Sabah Electricity, termasuk penggunaan tenaga yang efisien.
Projek yang bakal dilaksanakan di bawah kerjasama itu juga akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
Secara keseluruhan, kerjasama strategik di antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah itu menfokuskan kepada semua perkara berkaitan perkhidmatan Sabah Electricity.

Sementara itu, Hajiji menyambut baik kerjasama itu dalam usaha memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan ke seluruh pelusuk negeri.
“Usaha ini melengkapi inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat di negeri ini terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat akses kepada bekalan elektrik,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu juga selaras dengan peranan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Jelasnya, PPM memainkan peranan penting dan memikul tanggungjawab besar dalam memastikan rakyat di negeri ini mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Hadir sama pada majlis menandatangani MoU itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh. – Info x