KENINGAU: Seorang remaja lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Batu 11, Jalan Keningau – Sook, di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 18 tahun yang tersepit di tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.27 malam.
“Setiba di lokasi, kemalangan membabitkan dua jenis kenderaan iaitu lori dan Perodua Alza. Pasukan operasi mendapati pemandu Perodua Alza tersepit dan tidak sedarkan diri.
“Manakala pemandu lori selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan di keluarkan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan hydraulic power unit.
“Namun mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian dan seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis.
“Operasi menyelamat itu membabitkan sembilan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.18 malam. – Info X