KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, berkata pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi menangani sikap radikal, tidak bertolak ansur dan krisis moral dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata, perkara itu menjadi cabaran utama yang dihadapi pada masa kini dalam usaha kerajaan ke arah membangunkan umat madani.
Jelasnya, pendekatan yang perlu diambil termasuk pengukuhan pendidikan karakter, penyebaran dakwah penuh hikmah dan pengawasan terhadap media sosial yang mesti dilakukan supaya tidak menjadi alat penyebaran dakyah kebencian.
“Institusi keagamaan, pendidikan dan media massa memiliki tanggungjawab besar untuk sama-sama mencipta kesedaran kolektif mengenai pentingnya membangun umat madani mengikut acuan yang diredhai.
“Tanggungjawab ini juga perlu
digalas oleh setiap individu dengan menjadi agen perubahan serta menunjukkan sikap adil, toleransi dan menghargai sesama insan dalam kehidupan,” katanya.
Beliau berucap pada pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1447 Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat.
Hadir sama isteri beliau, Toh Puan Faridah Tussin dan Ketua Menteri , Datuk Seri Hajiji Noor.
Tun Musa berkata tema sambutan Maal Hijrah kali ini, ‘Membangun Ummah Madani’ amat bermakna dan relevan, selain menjadi manifestasi daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW.
“Ia bukanlah sekadar perpindahan secara fizikal dari Makkah ke Madinah tetapi satu transformasi menyeluruh, dari kelemahan kepada kekuatan, dari kejahilan jepada ilmu pengetahuan dan dari perpecahan kepada kesatuan.
“Itulah simbol perubahan yang terancang dengan strategi mantap yang menjadi asas kepada kemunculan tamadun islam yang gemilang,” katanya.
Beliau berkata, sambutan Maal Hjjrah juga perlu djadikan sebagai pemangkin kepada perubahan cara berfikir, budaya kerja cemerlang dan arah tuju umat Islam untuk menjadi umat yang progresif dan dinamik.
“Progresif bermakna umat yang sentiasa mara ke hadapan dalam bidang ilmu, ekonomi, teknologi, pemikiran dan kemanusiaan, manakala dinamik pula bermakna umat Islam yang tangkas menghadapi cabaran zaman, tidak statik dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia yang bergerak dengan pantas,” katanya.
Pada majlis itu, Tun Musa menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Sabah 1447 kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Datu Amir Kahar Tun Datu Mustapha yang juga anak kepada Bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun.
Seorang lagi penerima ialah bekas ADUN Dilantik yang juga bekas Pembantu Menteri Kebajikan Masyarakat dan Perpaduan Sabah, Datin Seri Norsuadah Basah. – Info X