PUTATAN: Pendakwaan terhadap Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa terbabit kes rasuah berkaitan isu pengeluaran lesen cari gali mineral memberi peluang kepada mereka untuk membersihkan nama.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerajaan negeri menghormati proses undang-undang dan berpendirian bahawa pendakwaan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bukan bermakna mereka sudah didapati bersalah.
Beliau berkata, sama ada tindakan itu memberi kesan politik terhadap kerajaan atau tidak juga bukan perkara utama yang diberi perhatian.
“Kita hormati proses undang-undang dan kalaupun tindakan itu diambil, ia bukan bermakna mereka telah didapati bersalah. Malah, kita harus beri peluang kepada kedua ADUN yang berkenaan untuk membersihkan diri.
“Sama ada ia memberi kesan politik atau tidak, ia tidak penting, tapi apa yang berlaku dan sedang berlaku ialah satu manifestasi kepada proses undang-undang yang perlu dihormati oleh semua orang.
“Kita tidak begitu memikirkan soal kesan politik dan sebagainya,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Petagas, di sini, pada Jumaat.
Masidi yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, berkata pihaknya hanya mahu memastikan bahawa semua yang terbabit, termasuk Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghormati undang-undang.
“Mereka tidak bersalah sehingga mereka (mahkamah) menyebutnya bersalah. Ini adalah prinsip undang-undang yang kita harus pegang dan hormati,” katanya.
Dua ADUN terbabit yang masing-masing ditahan SPRM sebelum dibebaskan dengan jaminan pada 18 dan 23 Jun lalu bakal didakwa di Mahkamah Kota Kinabalu pada 30 Jun ini.
Selain mereka, seorang individu awam yang dikenal pasti pemberi maklumat dikenali sebagai Albert Tei turut akan didakwa oleh SPRM pada tarikh yang sama.
Berdasarkan laporan sebelum ini, dua ADUN terbabit masing-masing berstatus Pembantu Menteri dalam jemaah Kabinet Sabah dan ADUN biasa yang juga pengerusi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri. – Info X